Sunday, July 19, 2009

SOALAN RUMUSAN SPM

Soalan 1:Rumusan
(30 markah)

Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang khasiat kunyit dalam bidang perubatan dan masakan. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Kunyit merupakan sejenis tumbuhan tradisi yang berasal daripada keluarga Zingiberaceace. Tumbuhan ini mempunyai pelbagai nama. Di negara China, kunyit dikenali sebagai Jiang Huang dan Yu Jin. Bagi masyarakat Arab, kunyit sinonim dengan panggilan Kurkum. Masyarakat Indonesia pula memanggil kunyit sebagai Indian Saffraon, Curcuma dan Kunir. Mengikut catatan, kunyit banyak terdapat di kawasan – kawasan tropika dan negara asal yang dikenal pasti bagi tumbuhan ini ialah India. Hal ini memang ada kebenarannya kerana kalau kita perhatikan, masyarakat India kebanyakannya menggunakan tumbuhan tersebut terutama sekali sebagai ramuan dalam masakan.
Sebagai sejenis tumbuhan herba, kunyit sememangnya banyak mempunyai khasiat. Selain menjadi rempah ratus dan penyedap dalam masakan, kunyit turut digunakan dalam perubatan tradisional. Menurut kepercayaan masyarakat Melayu, ibu kunyit dapat membantu wanita yang baru bersalin untuk membersihkan dan mengecutkan rahim. Mereka juga menggunakan kunyit bersama – sama lada hitam untuk memanaskan badan. Perubatan tradisional turut menggunakan kunyit untuk mengubati penyakit seperti darah tinggi, demam kuning, cirit – birit, batuk, lelah dan sebagainya. Caranya adalah dengan menumbuk kunyit sehingga lumat dan kemudiannya ditapis untuk diminum.
Kunyit juga dipercayai dapat mengubati penyakit seperti sakit perut, asma, selain dapat mengurangkan rasa gatal pada mata. Bagi bayi yang menghidap penyakit kulit susu, kunyit yang dicampur dengan kapur dipercayai dapat mengatasinya dengan cara menyapukannya pada bahagian yang berkurap. Kunyit bersifat analgesik dipercayai dapat menyembuhkan luka serta dapat mengurangkan kesakitan. Hal ini dapat dilakukan dengan cara menumbuk kunyit hingga lumat dan seterusnya ditampal pada bahagian yang luka. Kecergasan ibu – ibu selepas bersalin dapat dipulihkan dengan cara mengisar kunyit dan pegaga kemudian airnya diminum. Bukan itu sahaja, malah cara ini dapat menghilangkan keputihan dalam kalangan kaum wanita.
Di negara China, kunyit telah digunakan sejak beratus – ratus tahun dahulu sebagai bahan perubatan. Menurut pengamal perubatan tradisional negara China, kunyit dapat melancarkan peredaran darah manusia dengan cara menjadikan kunyit sebagai bahan minuman. Bagi seseorang yang mengalami rasa lebam dan darah beku, akan dapat dihilangkan dengan cara menyapu kunyit yang telah ditumbuk pada bahagian yang tertentu. Di Thailand, penduduknya menggunakan kunyit untuk menghilangkan kesan bisa akibat dipatuk oleh ular tedung. Perubatan tradisional India turut menggunakan kunyit sebagai salah satu bahan herba yang amat mujarab sebagai pencuci di samping dapat mengubati penyakit kulit atau gatal – gatal. Sebenarnya masih banyak lagi khasiat yang terdapat dalam kunyit. Kita berharap agar para penyelidik akan terus melakukan penyelidikan terhadap tumbuhan tersebut dan seterusnya kunyit dijadikan ubat penyakit kronik yang mujarab.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Kunyit Kaya dengan
Pelbagai Khasiat Boleh diperoleh, Melaka Hari Ini, 20 Julai 2006)

Soalan 2: Pemahaman

Soalan 2(a): Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan – soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)Apakah yang dimaksudkan dengan frasa penawar penyakit kronik yang mujarab?

(2 markah)

(ii)Nyatakan beberapa keistimewaan yang terdapat pada tumbuhan seperti kunyit.
(3 markah)

(iii)Walaupun kunyit dapat menyembuhkan pelbagai jenis penyakit,namun sambutan masyarakat masih kurang.Pada pendapat anda mengapakah hal ini demikian?(4 markah)







Soalan 1:Rumusan


Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang faedah menyertai kegiatan kokurikulum dan kesannya dari segi kesihatan. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kokurikulum negara yang dibentuk berdasarkan kehendak sukatan pelajaran mengikut Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah dan Menengah merupakan salah satu aktiviti luar bilik darjah yang banyak manfaatnya kepada pelajar. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat melahirkan pelajar yang aktif dan kreatif, bahkan mampu melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Namun begitu, sejak belakangan ini, penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum amat mendukacitakan. Dalam hal ini, kerana pelajar tidak sedar akan faedah yang diperoleh daripada kegiatan kokurikulum.
Seseorang pelajar yang melibatkan diri dengan aktiviti kokurikulum akan dapat menggunakan masanya dengan aktiviti yang lebih berfaedah. Dalam pasukan unit beruniform seperti Pengakap, Kadet Polis, Pandu Puteri pelajar dituntut supaya sentiasa menepati dan menghargai masa. Dalam hal ini, pelajar dididik tentang kepentingan dan cara pengurusan masa dengan lebih baik kerana seperti yang kita sedia maklum, masa itu amat berharga bak kata pepatah, masa itu emas.
Aktiviti kokurikulum yang disertai pelajar dapat mengasah bakat pelajar untuk lebih yakin dan berani dalam menghadapi cabaran luar yang kian mencabar . Lihat sahaja nama – nama seperti Datuk Azhar Mansur, Datuk Abdul Malik Maidin yang telah berjaya mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. Selain itu, penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum akan dapat menyemai minat dan hobi mereka. Pelajar yang minat mengambil gambar akan menyertai Kelab Fotografi, pelajar yang gemar mengembara dan mendaki akan menyertai Kelab Kembara. Aktiviti kokurikulum juga mampu membentuk disiplin dan sahsiah diri pelajar yang kuat. Dalam pasukan Kadet Polis, aspek sahsiah, kekemasan pakaian, disiplin amat dititikberatkan. Selain itu, penglibatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum mampu melahirkan pelajar cemerlang yang mempunyai pencapaian seimbang antara akademik dengan aktiviti kokurikulum.
Pelajar yang aktif dalam aktiviti kokurikulum turut memperoleh satu nilai tambah kerana kemahiran ini bukan diperoleh melalui pengajaran di dalam bilik darjah tetapi di luar bilik darjah. Di samping itu, perpaduan dalam aktiviti kokurikulum dapat disemai melalui semangat muafakat, bekerjasama dan tolong - menolong antara satu sama lain. Dalam kegiatan kokurikulum, nilai – nilai berani, bekerjasama, bersemangat, setia kawan, jujur, rajin banyak diterapkan. Keadaan seperti ini mampu membina daya kepimpinan, pengurusan dan seterusnya kaedah berorganisasi. Pelajar yang aktif dalam kegiatan kokurikulum tidak mudah terpengaruh dengan gejala sosial seperti merokok, menghidu gam, melepak, seks rambang, mengambil dadah, dan sebagainya. Hal ini demikian kerana, pelajar yang aktif dalam kegiatan kokurikulum sentiasa berfikiran positif di samping memanfaatkan masa dengan aktiviti yang lebih berfaedah.
Untuk menyedarkan pelajar tentang kebaikan menyertai aktiviti kokurikulum, semua pihak perlulah mengambil langkah yang lebih proaktif. Ibu bapa yang rapat dengan pelajar perlu menyokong penglibatan anak –anak mereka dengan aktiviti kokurikulum. Demikian juga halnya dengan guru – guru, peranan mereka dalam usaha menarik minat pelajar menyertai aktiviti kokurikulum tidak kurang pentingnya.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Faedah – faedah Menyertai
Aktiviti Kokurikulum, Dewan Siswa, April 2006)

Soalan 2:Pemahaman

Soalan 2(a): Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan – soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)Berikan maksud rangkai kata masa itu emas.(2 markah)

(ii)Bagaimanakah aktiviti kokurikulum itu dapat memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar?3 markah)

(iii)Pada pendapat anda, mengapakah pelajar kurang berminat untuk menyertai aktiviti kokurikulum?(4 markah)









Soalan 1:Rumusan


Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang keburukan internet dalam masyarakat dan langkah langkah mengatasinya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Perkembangan komunikasi khususnya dalam bidang teknologi maklumat (IT) sememangnya telah membawa perubahan secara menyeluruh kepada cara hidup kita. Perkembangan teknologi tersebut begitu cepat dan pantas sehinggakan dunia ini seolah – olah terlalu kecil. Salah satu daripada rangkaian teknologi maklumat yang tidak asing bagi kita ialah internet iaitu jaringan telekomunikasi secara maya tanpa sempadan.
Internet sudah sinonim dengan rakyat negara kita. Kemudahan tersebut boleh diperoleh sama ada di rumah, sekolah, institusi –institusi pengajian tinggi, pejabat, pusat beli – belah dan sebagainya. Bagaimanapun, perkembangan tersebut telah mendapat teguran dan kritikan daripada pelbagai pihak kerana ada golongan tertentu cuba menyalahgunakan kemudahan internet untuk kepentingan sendiri. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi misalnya, meminta pihak polis menahan dan menyoal siasat mana – mana pihak yang cuba menyalahgunakan kemudahan internet.
Sebenarnya, jika internet disalahgunakan boleh mendatangkan pelbagai keburukan. Pada kebiasaannya, kebanyakan laporan yang dikeluarkan melalui internet adalah berasaskan khabar angin dan tuduhan liar. Selain itu, internet juga boleh menimbulkan sentimen perkauman dalam masyarakat yang berbilang kaum. Penyebaran artikel, khabar – khabar angin, gosip, isu – isu sensitif seperti agama, hak istimewa orang Melayu misalnya akan merenggangkan hubungan antara kaum di negara kita. Penyebaran perkara yang tidak betul ini akan mencetuskan kekacauan sehingga memberi kesan terhadap pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.
Terdapat sesetengah pihak menggunakan internet untuk memburuk – burukkan serta menabur fitnah terhadap individu lain sehingga menyebabkan maruah dan reputasi seseorang itu tercemar. Suatu ketika dahulu, kita telah dikejutkan dengan berita penyebaran gambar – gambar lucah yang melibatkan rakyat tempatan. Perbuatan seperti ini, akan menjatuhkan maruah individu dan keluarganya. Selain itu, penggunaan internet tanpa kawalan telah meningkatkan kos penyelenggaraan. Pengguna internet terpaksa menjelaskan bil – bil internet, telefon dan sebagainya. Bagi pengguna yang berkunjung ke “cyber cafĂ©”, mereka terpaksa membayar sewa antara RM4 hingga RM5 sejam.
Ketagihan dalam internet turut mewujudkan masyarakat yang antisosial. Hal ini terjadi demikian kerana seseorang yang ketagih dengan internet, akan terus melayari internet sehingga mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Menurut kajian, seseorang yang terlalu lama melayari internet boleh menjejaskan tahap kesihatan mereka. Perkara ini berlaku kerana mereka tidak cukup tidur dan makan tidak mengikut waktu.
Walau bagaimanapun, kemunculan internet banyak mendatangkan kebaikan kepada manusia. Melalui internet kita boleh memperoleh banyak maklumat dan mengetahui perkembangan dunia luar. Apa yang penting, kita sebagai pengguna haruslah menjadi pengguna internet yang bijak.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada: Kabinet Mahu Blog
Internet Dipantau, Berita Harian, 2 Ogos 2006)

Soalan 2:Pemahaman

Soalan 2(a): Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan – soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)Berikan maksud rangkai kata jaringan telekomunikasi secara maya.(2 markah)

(ii)Nyatakan isu – isu sensitif yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum di negara kita.(3 markah)

(iii)Pada pendapat anda, bagaimanakah internet dapat membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar?(4 markah)

Soalan 1:Rumusan


Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang langkah – langkah menanam minat membaca dalam kalangan pelajar dan faedahnya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Amalan membaca dalam kalangan pelajar di negara ini berada pada tahap yang cukup membimbangkan. Secara puratanya, pelajar membaca satu halaman buku setiap tahun. Hal ini menunjukkan bahawa tahap pembacaan para pelajar masih lemah. Memang kita akui, ramai pelajar yang membaca kerana desakan peperiksaan. Apabila peperiksaan telah tamat, tabiat membaca ini tidak diteruskan. Sehubungan dengan itu, semua pihak harus bertanggungjawab dan berusaha untuk memupuk minat membaca khususnya dalam kalangan pelajar.
Minat membaca dalam kalangan pelajar dapat dipupuk oleh ibu bapa dengan cara menunjukkan model yang baik kepada anak – anak. Sikap ibu bapa yang sering membaca buku di hadapan anak – anak menyebabkan anak – anak mencontohi ibu bapa mereka. Selain itu, ibu bapa juga perlu menyediakan bilik bacaan atau perpustakaan mini dan menyediakan pelbagai bahan bacaan yang sesuai dengan peringkat umur mereka.
Selain ibu bapa, guru turut memainkan peranan dalam usaha memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar. Ketika proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan misalnya, guru hendaklah menekankan kemahiran asas iaitu membaca, mengira dan menulis. Dorongan daripada guru supaya pelajar berkunjung ke perpustakaan sangat penting. Semasa di perpustakaan, pelajar digalakkan membaca buku – buku yang berunsur ilmiah, membuat rujukan atau menyiapkan kerja – kerja sekolah yang belum selesai. Pihak sekolah juga boleh menyediakan “Medan Membaca” atau mewajibkan pelajar membuat ulasan terhadap sebuah buku yang mereka baca pada hari perhimpunan sekolah. Usaha ini penting kerana pelajar berasa bahawa membaca itu menyeronokkan.
Kempen – kempen yang dapat memberi kesedaran kepada pelajar tentang faedah membaca perlu dipergiatkan dari semasa ke semasa. Penggunaan kata – kata yang menarik seperti “Membaca jambatan ilmu”, “Hidup membaca, hidup bahagia’’ mampu merangsang minat pelajar untuk membaca. Pertandingan perbahasan, pidato dan bercerita di peringkat sekolah, turut menyemai minat membaca dalam kalangan pelajar. Melalui pertandingan ini, pelajar yang muncul juara perlu diberi ganjaran sebagai motivasi agar terus membaca. Pembinaan pondok – pondok bacaan di kawasan sekolah yang dilengkapi dengan bahan – bahan bacaan seperti surat khabar lama, buku – buku cerita mampu menyemai minat pelajar. Sebagai contoh, ketika waktu rehat, sesetengah pelajar tidak ke kantin, jadi kesempatan ini mereka gunakan untuk duduk di pondok bacaan sambil membaca buku.
Pihak kerajaan turut berperanan dalam menyemai minat membaca dalam kalangan pelajar. Kerajaan misalnya, boleh mengurangkan cukai import bahan bacaan bermutu yang diimport dari negara luar. Selain itu, penubuhan lebih banyak perpustakaan di tempat – tempat yang lebih strategik perlu disegerakan. Perpustakan bergerak juga perlu disediakan oleh kerajaan untuk kemudahan pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman atau luar bandar. Kesimpulannya, minat membaca dalam kalangan pelajar hendaklah ditekankan di peringkat awal lagi. Peribahasa Melayu ada mengatakan, “melentur buluh biar dari rebungnya”. Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama untuk menanam minat membaca dalam kalangan pelajar.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada: Semua pihak Membantu
Kanak – kanak Membaca: Pendidik, BIL. 18-2006)

Soalan 2:Pemahaman

Soalan 2(a): Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan – soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)Berikan maksud rangkai kata melentur buluh biar dari rebungnya.(2 markah)

(ii)Ibu bapa boleh menyemai minat membaca dalam kalangan anak – anak. Bagaimanakah hal ini boleh dilakukan?(3 markah)

(iii)Pada pendapat anda, mengapakah minat membaca dalam kalangan pelajar masih berada pada tahap yang kurang memberangsangkan?(4 markah)

No comments:

Post a Comment